Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
RIMBA, Jumaat, 31 Oktober. - Upacara Penyerahan Bendera Kebangsaan bagi Kontinjen Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang akan menyertai Malaysian Battalion 850-13 (MALBATT 850-13) dalam misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) berlangsung kelmarin di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba. Seramai 21 anggota ABDB akan menyertai misi pada kali ini.
Hadir pada upacara tersebut ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Datuk Mohd. Aini bin Atan.
Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif ABDB, Timbalan Pengarah Jabatan Pertubuhan Antarabangsa, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Penasihat Pertahanan Malaysia ke NBD, pegawai-pegawai kanan dan anggota-anggota Kementerian Pertahanan serta ahli keluarga para anggota yang bakal menyertai misi pengaman berkenaan.
Upacara dimulakan dengan penyerahan Bendera Kebangsaan oleh Pemerintah ABDB kepada Mejar Mohd. Ihya'uddin bin Haji Ishak selaku Ketua Kontinjen ABDB bagi MALBATT 850-13, yang melambangkan amanah dan tanggungjawab negara yang bakal dipikul oleh para anggota misi.
Upacara seterusnya diikuti dengan pemasangan lencana kepada pegawai-pegawai dan ahli-ahli kontinjen, sebagai simbol pengiktirafan rasmi penyertaan mereka dalam misi tersebut.
Upacara kemudiannya diteruskan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar sebelum diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Sejurus selesai upacara, kontinjen berlepas ke Malaysia menggunakan pesawat C295MW Tentera Udara Diraja Brunei, sebelum meneruskan perjalanan ke Lubnan dari Kuala Lumpur bermula 5 November 2025 mengikut jadual penerbangan yang telah ditetapkan.
Sejak penyertaan sulungnya pada tahun 2008, ABDB telah memainkan peranan aktif dalam misi pengaman UNIFIL, yang mencerminkan komitmen teguh NBD terhadap tiga teras utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Keamanan dan Keselamatan, Hak Asasi Manusia serta Pembangunan.
Penyertaan ABDB yang konsisten ini menzahirkan iltizamnya untuk terus menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di peringkat serantau dan antarabangsa, di samping menegaskan peranan ABDB dalam menyokong usaha-usaha keamanan dan keselamatan sejagat.